الْجُمُعَة
07 RABIUL AKHIR 1438H
Setelah sekian lama menanti, Anna nak umumkan pemenang bagi Pertandingan Puisi Belantara di Antara Jiwa. Terlebih dahulu, Anna ingin mengucapkan terima kasih kepada Siti Aishah Mohammad Razi, Mohd Fariz Abdul Rahman, Sura Zakaria, Mohd Faizal Zakaria, Suria Zakaria dan Nur Azalea Rusni yang sudi menyertai pertandingan ini. Terima kasih juga pada yang turut menyebarkan perihal pertandingan ini di Facebook.
Dan pemenangnya adalah...
→ SURIA ZAKARIA ←
Hening malam bintang merata
Menata sinar tersuluh jiwa
Namun kelam gelap gelita
Tertanya tanya bilakan bercahaya?
Kau susuri belantara jiwa
Berselirat, sesak terasa
Mentari terik menjengah jua
Tetaplah teguh menjadi perkasa
Jalan bercabang buat kau terpana
Terus melangkah tuntuni jiwa
Pekikan ia pada yang Esa
Hanya Dia yang Maha Sempurna
Karya oleh,
Suria Zakaria ©️ 2016-2017
Tahniah buat Suria Zakaria. Puisi ini terpilih kerana dapat menyampaikan apa yang Anna sendiri rasa ketika membuat lukisan ni. Pada yang pernah mengikuti dan membaca penulisan Anna di blog lama, Budu dan Belacan, banyak luahan hati terutamanya mengenai konflik diri. Anna masih lagi, mencari diri. Jatuh seringkali, bangkit jarang sekali. Banyak yang perlu dilawan, banyak yang perlu ditawan.
Setelah lama menyepi dan menghilangkan diri dari dunia alam maya, sekarang Anna dah kembali. Tapi jujur dikatakan, bukan mudah hendak bangkit. Rasa kecewa, kesal, seringkali hendak mengibarkan bendera putih, pasrah pada kegagalan. Selama Anna hidup di mukabumi ini, rasa seolah banyak masa yang telah dihabiskan dengan sia-sia. Tapi Alhamdulillah, masih diberi nyawa untuk meneruskan hidup di dunia yang sementara. Ditemukan dengan seorang yang mengejutkan dari tidur dan mimpi indah yang kosong. Realiti itu pahit, tapi pahit itulah ubat.
Waktu tengah gah, rasa macam merendah diri, tanpa disedari, ego itu melangit, sombong dan meninggi diri. Itulah mainan dunia, godaan nafsu dan tewas dengan bisikan pawana. Terlalu mudah dikaburi dengan perkara yang memakan diri kerana lemas dalam nikmatnya. Lama-kelamaan, hati yang asalanya bercahaya, menjadi kelam. "Hening malam bintang merata, Menata sinar tersuluh jiwa, Namun kelam gelap gelita, Tertanya tanya bilakan bercahaya?" Suria Zakaria (2016).
Apa jua sekali pun. Hidup mestilah diteruskan. "Kau susuri belantara jiwa, Berselirat, sesak terasa, Mentari terik menjengah jua, Tetaplah teguh menjadi perkasa" Suria Zakaria (2016). Sakit macam mana pun bila jatuh, kena bangun dan jalan. Tak larat nak jalan, merangkak. Tak larat merangkak, mengesot seperti suster ngesot. Hahaha. Harap ada yang pernah tengok Suster Ngesot, kalau takda.. aku gelak sorang-sorang je la. Hmm.
Nami Island 25 November, 2015 |
Jadi macam mana ni nak teruskan perjalanan hidup yang sementara menuju yang kekal? "Jalan bercabang buat kau terpana, Terus melangkah tuntuni jiwa, Pekikan ia pada yang Esa, Hanya Dia yang Maha Sempurna" Suria Zakaria (2016). Berbalik padaNya. Segala sesuatu yang kita lakukan kerana Allah. Bukan untuk yang lain, bukan untuk memuaskan diri sendiri. Manusia tidak akan pernah puas. Tak terkejar kepuasan dunia.
Jadikan kebiasaan untuk menyoal diri "Aku buat ni untuk apa?" Kalau tujuannya kerana Allah, kita tidak akan rasa terlalu sedih dan kecewa bila tidak dapat apa yang diingin. Contohnya, pergi temuduga untuk mencari kerja, dengan harapan yang tinggi, sekali tak dapat. Nak mendapatkan zuriat, bertahun-bertahun mencuba tetapi masih tidak mendapat anak. Jika kita niatkan dan landaskan pada Allah, kita yakin ada hikmahnya, kita yakin ada yang lebih baik untuk kita. Mungkin tidak di dunia, tapi di akhirat kelak.
Dengan itu, kita harus tetap bersemangat untuk berusaha walaupun gagal. Gagal tidak bermakna kalah. Jadikan kegagalan itu satu semangat baru untuk teruskan usaha dan berikhtiar disulami dengan niat keranaNya, bukan kerana manusia mahupun dunia.
{Sue Anna Joe}
Alhamdulillah rezeki, terima kasih @Sue Anna Joe. ^__^
ReplyDeleteApa yang ditafsirkan sama seperti apa yang dirasa masa menulis.
Setiap perubahan perlu ada istiqamah, tp nak konsisten tu yang perit. Jadi perlu mujahadah! May Allah bless you. (tak sabar nak tatap painting depan mata, hehe)
Alhamdulillah. Sama-sama. Terima kasih ya sebab sudi turut serta. Betul tu, selalu kalah nak beristiqamah. Insha'allah Isnin ni akan dipos! ❤️
Delete